KOTA KINABALU, 13 Disember 2024 – Program Kunjungan Hormat Ahli Jawatankuasa Induk PEWANI UiTM Selangor ke PEWANI UiTM Cawangan Sabah telah berlangsung dengan penuh kemesraan dan semangat ukhuwah, bertujuan memperkukuhkan hubungan serta jaringan kerjasama antara kedua-dua cawangan.
YBhg. Prof. Datuk Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor UiTM, turut serta sebagai Penasihat PEWANI UiTM bagi memberikan sokongan serta dorongan kepada ahli PEWANI dalam memperkasakan peranan wanita di universiti. Turut serta dalam program ini ialah YBhg. Datin Dr. Fadzilah Salim isteri Naib Canselor, yang juga merupakan Yang DiPertua PEWANI UiTM.
Dalam ucapan beliau, YBhg. Prof. Datuk Dr. Shahrin menekankan kepentingan kebersamaan dalam memperkasa peranan wanita dalam akademik dan pentadbiran universiti. Beliau turut berharap agar PEWANI terus aktif dalam inisiatif kebajikan dan pembangunan profesional ahlinya.
Selain mengeratkan silaturahim, program ini turut memberi fokus kepada perancangan strategik PEWANI dalam memperkasakan peranan wanita dalam UiTM bagi tahun 2025. Sesi diskusi khas telah diadakan bagi membincangkan hala tuju organisasi, termasuk peningkatan pembangunan kepimpinan wanita, inisiatif kebajikan, serta penglibatan aktif dalam program pembangunan masyarakat.
Program tiga hari ini turut disertai oleh 14 orang AJK PEWANI UiTM Cawangan Selangor, dengan pelbagai aktiviti seperti sesi teambuilding, program tanggungjawab sosial (CSR) di Home Tuaran (Rumah Anak Yatim dan Maahad Tahfiz) serta lawatan ke beberapa lokasi menarik di sekitar Kota Kinabalu dan Kundasang. Keindahan alam semula jadi Sabah, khususnya penginapan dua malam di Kundasang, turut memberi pengalaman bermakna kepada para peserta.
Dengan kejayaan penganjuran program ini, PEWANI UiTM berharap agar hubungan baik yang terjalin dapat diteruskan melalui lebih banyak inisiatif strategik dan kolaborasi antara cawangan PEWANI di seluruh UiTM pada masa hadapan.