KARNIVAL SUKAN PEWANI SEMALAYSIA MERIAH DI UiTM CAWANGAN PERLIS

KARNIVAL SUKAN PEWANI SEMALAYSIA MERIAH DI UiTM CAWANGAN PERLIS

ARAU Perlis, 11 September 2024 – Karnival Sukan PEWANI SeMalaysia telah berlangsung dengan penuh semangat di UiTM Cawangan Perlis dari 8 hingga 11 September 2024. Seramai 250 peserta dari 12 cawangan UiTM telah menyertai karnival ini, yang mempertandingkan lima acara utama iaitu sukan tradisional, bola tampar, bola jaring, Beauty on The Run dan Woodball VIP.

Pada 8 September 2024, peserta dibawa melawat ke Hatyai Thailand. Peserta berpeluang berjalan-jalan sekitar Songkla, Hatyai sebelum Karnival Sukan PEWANI SeMalaysia bermula.

Majlis perasmian telah diadakan pada 9 September 2024, jam 10.30 pagi, bertempat di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis. Karnival ini telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Datuk Dr. Shahrin bin Sahib@ Sahibuddin, Naib Canselor UiTM, selaku Penasihat PEWANI. Turut hadir dalam majlis ini ialah YBhg. Datin Dr. Fadzilah Salim, Yang Dipertua PEWANI Induk, YBrs. Prof. Ir. Ts. Dr. Hamidah binti Mohd Saman, Timbalan Yang Dipertua 2 (TYDP2), YBrs. Prof. Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, yang menjalankan fungsi Rektor UiTM Cawangan Perlis, serta para rektor dari seluruh kampus cawangan UiTM, Pengerusi PEWANI SeMalaysia, dan Jawatankuasa Eksekutif Negeri UiTM Cawangan Perlis.

Kontinjen PEWANI UiTM Cawangan Selangor telah diketuai oleh YBhg. Datin Zuraini Dollah yang membawa bersama 32 orang atlet yang bertanding bagi acara sukan tradisional, bola tampar, bola jaring, Beauty on The Run dan Woodball VIP.

PEWANI UiTM Cawangan Selangor berjaya memenangi acara bola jaring (johan), bola tampar (johan), Woodball VIP (naib johan dan tempat ketiga) dan naib johan sukan tradisional tuju tin. PEWANI UiTM Cawangan Selangor telah muncul sebagai Johan Keseluruhan bersama UiTM Cawangan Perlis dan membawa pulang piala pusingan.

Karnival sukan ini bukan sekadar platform untuk bersaing dalam pelbagai acara, tetapi turut menjadi medium untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli PEWANI di seluruh Malaysia. Semangat kesukanan yang tinggi serta nilai kepimpinan dan kerjasama jelas terpancar sepanjang karnival berlangsung. Acara ini juga bertujuan untuk memupuk budaya persaingan yang sihat dalam suasana pertandingan yang inklusif dan komprehensif.

Dengan sambutan yang amat menggalakkan, Karnival Sukan PEWANI SeMalaysia 2024 telah berjaya mencapai matlamatnya dalam memperkukuhkan ukhwah dan semangat kesukanan dalam kalangan peserta. Diharapkan acara ini akan terus menjadi agenda tahunan bagi memperkukuhkan jalinan hubungan serta mempromosikan gaya hidup sihat di kalangan ahli PEWANI di seluruh UiTM.

Please publish modules in offcanvas position.